Tuesday, October 29, 2024

KEPENTINGAN KESELAMATAN DI BENGKEL TEKNOLOGI KIMPALAN

Keselamatan merupakan satu elemen yang amat penting di bengkel teknologi kimpalan. Hal ini bagi melindungi pelajar dan sesiapa yang membuat pekerjaan di bengkel daripada risiko kecederaan dan kemalangan. Kimpalan merupakan pekerjaan yang melibatkan penggunaan suhu tinggi, bahan kimia berbahaya, dan jentera berat, menjadikannya bidang yang memerlukan tumpuan khusus terhadap keselamatan. 

Menurut Akta Kilang dan Jentera 1967 dan peraturan di bawahnya, setiap bengkel perlu untuk memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi memastikan semua mesin berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan serta penyediaan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.

Selain dari Akta Kilang dan Jentera 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 juga merupakan akta yang menjadi rujukan dari segi keselamatan dan kesihatan pekerja serta sekeliling. Berdasarkan Seksyen 24, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, pekerja mesti mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah terhadap keselamatan dan kesihatan diri mereka serta orang lain yang mungkin terjejas disebabkan tindakan atau peninggalan mereka semasa bekerja.

AMALAN KESELAMATAN DI BENGKEL TEKNOLOGI KIMPALAN

Terdapat beberapa perkara keselamatan yang perlu dipraktikkan oleh pelajar dan pihak pengurusan untuk mengelak dari berlakunya risiko kecederaan dan kemalangan di bengkel kimpalan iaitu dengan:

1)Mematuhi prosedur keselamatan yang telah ditetapkan

Pelajar mesti mematuhi arahan serta langkah keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan sekolah seperti:
  • Mengikuti prosedur operasi standard (SOP) kimpalan yang ditetapkan.
  • Mematuhi tanda-tanda amaran dan arahan keselamatan di tempat kerja.
  • Tidak melakukan tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain.

2) Penggunaan Kelengkapan Perlindungan 

Penggunaan PPE (personal protective equipment):

PPE juga dipraktikkan bagi melengkapkan atau menambah kawalan risiko dan seterusnya mengurangkan risiko kecederaan. Kelengkapan perlindungan seperti topeng kimpalan, sarung tangan tahan panas, kasut keselamatan dan pakaian pelindung harus dipakai oleh semua pelajar semasa bekerja untuk melindungi diri daripada kecederaan sewaktu mengimpal seperti percikan arka, pengcahayaan arka, asap kimpal dan sinaran UV. 





3) Sistem Pengudaraan yang Baik

Sistem pengudaraan yang baik dan mencukupi  perlu disediakan bagi mengelakkan pelajar terdedah kepada bahan toksik seperti asap dan gas berbahaya yang dihasilkan sewaktu mengimpal. Pemasangan "fume exhaust" di bengkel kimpalan adalah sangat digalakkan. Hal ini sejajar dengan matlamat Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, untuk mengurangkan risiko kesihatan pekerja. Pelajar juga perlu memastikan fume exhaust yang ada dapat digunakan sebelum melakukan kerja mengimpal.



4) Pemeriksaan Peralatan: 

Sejajar dengan keperluan Akta Kilang dan Jentera 1967, semua jentera, termasuk mesin kimpalan, perlu diperiksa secara berkala untuk memastikan ia selamat digunakan dan berfungsi dengan baik. Peralatan dan mesin perlu dipastikan berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan. Sekiranya pelajar mendapati peralatan atau mesin berada dalam keadaan tidak sempurna, segera laporkan kepada pensyarah. Jadual pemeriksaan berkala perlu ada pada setiap jentera atau mesin yang digunakan. 


5) Penggunaan Alat Pemadam Api

Semua bengkel harus dilengkapi dengan alat pemadam api untuk tindak balas kecemasan yang paling cepat. Langkah-langkah ini bukan sahaja mematuhi dasar keselamatan tetapi juga mencerminkan amalan terbaik untuk melindungi pelajar dan kakitangan di bengkel kimpalan, membantu mengurangkan kemalangan yang boleh mencederakan atau mengancam nyawa. Pastikan alat pemadam api yang bersesuaian dengan bengkel disediakan dan langkah-langkah pengendalian turut disertakan.




6) Kondisi tempat kerja yang baik

Penyediaan tempat kerja yang selamat dari sebarang risiko bahaya adalah sangat perlu diambil kira. Lantai kawasan tempat kerja haruslah kering dan sentiasa bersih. Lantai yang basah boleh menyebabkan risiko renjatan elektrik. Selain itu, pelajar perlu membersihkan tempat kerja dengan baik selepas melakukan aktiviti kimpalan.


7) Melabel segala jenis bahan kimia yang digunakan di bengkel kimpalan

Pihak pengurusan harus memastikan segala jenis bahan kimia yang digunakan mempunyai label berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Hal ini dapat memberi maklumat kepada pelajar mengenai bahaya sesuatu bahan kimia serta cara -cara pengendalian bahan kimia dengan betul. 




KESIMPULAN

Kesimpulannya, keselamatan di bengkel teknologi kimpalan sangat penting bagi melindungi pelajar dan pekerja dari risiko kecederaan dan kemalangan. Kepatuhan kepada undang-undang seperti Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 membantu memastikan setiap langkah keselamatan dipraktikkan sebaiknya. Amalan seperti penggunaan PPE, pengudaraan yang baik, pemeriksaan peralatan, kondisi tempat kerja yang baik dan melabel bahan kimia adalah penting untuk mengurangkan risiko bahaya. Seterusnya, mengamalkan prosedur keselamatan bukan sahaja melindungi individu tetapi juga mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.

                                                          
                              UTAMAKAN KESELAMATAN


Sumber carian:

1) Ministry of Human Resources, Malaysia. (n.d.). Occupational Safety and Health Act 1994, Act 514, Part IV: Provisions on Safety and Health [PDF]. Retrieved from https://osh-isis.com/mspo/osha1994/a0514s0024.pdf

2) Department of Occupational Safety and Health, Malaysia. (n.d.). Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta 514 [PDF]. Retrieved from https://www.dosh.gov.my/index.php/ms/perundangan/acts-legislation/3773-akta-keselamatan-dan-kesihatan-pekerjaan-1994-akta-514/file(safety)

3)Department of Occupational Safety and Health, Malaysia. (n.d.). Akta 514: Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [PDF]. Retrieved from https://www.dosh.gov.my/index.php/legislation/acts/4782-vm-akta-514-akta-keselamatan-dan-kesihatan-pekerjaan-1994/file

4) Hamzah, J., et al. (n.d.). Modul MTK 1012 amalan dan prosedur keselamatan






KEPENTINGAN KESELAMATAN DI BENGKEL TEKNOLOGI KIMPALAN Keselamatan merupakan satu elemen yang amat penting di bengkel teknologi kimpalan. Hal...